Khamis, 28 Januari 2010

[ 29 ] Himpunan "Doa" Menuntut Royalti

Stadium Sultan Muhammad ke IV menyaksikan perhimpunan rakyat Kelantan bersatu hati berimamkan pemimpin mereka Tuan Guru Nik Abdul Aziz solat bersama mengadap dan memohon kepada Allah bahawa royalti minyak adalah milik rakyat Kelantan.

Program bermula dengan solat maghrib dan berakhir dengan doa oleh Tuan Guru yang diaminkan oleh puluhan ribu rakyat jelata dari segenap pelusuk negeri Kelantan.

Terdapat juga mereka yang di luar Kelantan. Diantara mereka yang saya temui, terdapat mereka dari Perlis yang datang pada malam itu.

Pengisian utama pada malam itu ialah ucapan dari Yang Berhormat Mulia Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau selaku mantan Menteri Kewangan, orang yang bertanggung jawab mengasaskan Petronas dan menandatangani perjanjian antara Pertonas dan Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1974.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan bersama GEGAR [ NGO yang menuntut hak royalti ] berakhir dengan selamat.

[ 28 ] Ada Di Langit Ada Di Bumi


Pertemuan yang tak disangka, tanpa niat dan perancangan. Kuasa Allah Yang Maha Menentukan.

Adab orang yang mencari kebaikan, bertemu, walaupun tak dikenali lalu menghulurkan salam kepada saudaranya. Begitulah dengan Tuan Haji Wahab pada 25 Januari 2010 yang lalu.

Saya bersama "rakan masjid", Haji Yaakub dan Haji Zakaria selepas selesai solat Isyak di Masjid Taqwa keluar bersantai di sebuah restoran "Mamak Spicy" di Kok Lanas. Terserempak dengan Tuan Haji Wahab.
Selama ini hanya mendengar namanya saja dari anaknya Ustaz Mat yang menjadi imam terawih di Masjid Perpaduan Ummah Kampung Kolam.

Kini telah berkenalan. Tanpa melalui orang tengah. Pertemuan yang tak disangka-sangka. Saling mengambil perhatian. Saya melihatnya seorang tua yang "boleh tumpang".

Sesuai dengan profesennya sebagai muazin di Masjid India. Pernah tinggal di Mekah sewaktu berkhidmat dengan Tabung Haji.

Saya menghulurkan kad pengenalan diri "Pengerusi Masjid Uthmani" untuk di bawa di Kuala Lumpur. Beliau faham dan nampaknya positif untuk tolong cari dana untuk pembinaan Masjid Uthmani.

Isnin, 25 Januari 2010

[ 27 ] Suatu Rekod Masjid Uthmani



Hanya Allah Yang Maha Membalas. Seorang hamba Allah sanggup menulis nama saya FAKRI BIN AWANG diatas helaian cek Maybank dengan nilai RM satu ribu.

Walaupun atas nama saya, tapi ia adalah untuk MASJID UTHMANI. Saya akan hulurkan resit RBH atau CIMB yang akan saya bank in nanti, insyaAllah.

Rabu, 20 Januari 2010

[ 26 ] Dua Tuah ... Malam Bertuah

1 Muharam 1431 yang lalu.
Bawa Tok Ayah, Ahmad Fathi dan Ainul Fatihah ke tepi Sungai Kelantan
Gambar yang diambil pada 1986
"Ratu hatiku" bonda, tersayang telah pergi buat selamanya...tinggal lagi ayahanda.
Ayahanda berjubah....persediaan untuk ke Mekah pada tahun tersebut.

Malam ini, malam Khamis seperti biasa, kuliah maghrib mingguan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Sokor, Kok Lanas. Fokus perbincaan malam ini kepada teruknya akhlak dan watak-watak manusia yang dikuasai nafsu. NauzubilLahi minzalik.

Surah Yusuf padat dengan cerita yang banyak memberi pengajaran. Anak-anak Nabi Yaakub menyifatkan Nabi Yaakub tidak adil, lebih menyayangi Nabi Yusuf dan Buniyamin. Kerana hati dengki menyebabkan mereka kata ayahanda mereka tidak betul, "sesat yang nyata".

Bermula tuah pertama malam ini, ahli jamaah Masjid Ar-Rahim buat muqaddimah infak dengan membeli lot untuk bina Masjid Uthmani. Terima kasihlah dan hanya Allah yang Maha Membalas. Terus masukkan kedalam RHB Bank Ketereh.

Dalam perjalanan pulang, singgah di Mamak Spicy Kok Lanas. Dapat tuah yang kedua. Melalui Facebook dapat hantar "takziah" kepada Saudara Wan Nasru. Mula tertarik kerana profilenya berasal dari Melor.

Pekan Melor, 3 kilo dari kampung saya. Lalu selidik dan dapat tahu Wan Nasru adalah anak Ayah Mad Manager Pasir Pekan. Semua keluarganya saya kenal, terutama yang di Air Lanas.

Saya dapat merasakan apa yang dirasainya. Ibu saya juga telah tiada. Pergi buat selamanya pada November 2007 lalu. Diatas tanah pemberian ibu inilah saya bina Masjid Uthmani Kampung Kolam. Harapnya Allah menerima sumbangan ibu ini sebagai bekal pertemuannya dengan Allah. Amin

Dengan Wan Nasru ini saya pernah tengok namanya ketika Ustaz Nik Abduh buka blognya suatu masa bermalam bersama Ustaz Nik Abduh di ibu negara tahun lepas. Kononnya [ malam ini ada tuahnya ] pengenalan hari itu adalah muqaddimah kepada perhubungan yang selanjutnya. InsyaAllah.

Harap saudara Wan Nasru bersabar dengan pemergian orang yang di cintai. Saya panggilnya "Wan" Kita panjangkan hubungan ini.

Kita amalkan apa pesanan dan ajaran ibunda kita untuk selamat dunia akhirat kita.

Selasa, 12 Januari 2010

[ 25 ]Pengajian Al-Quran Fathi

Tempat budak itu duduk ialah tempat duduk khas Menteri Besar Kelantan ketika menyampaikan kuliah Jumaat di Dewan Zulkifli Muhammad, Bangunan PAS di Kota Bharu.




Fathi memulakan pengajian al-Quran di Al-Munir, Ketereh. Pengajian bermula jam 6:30 petang hingga jam 9 malam

Isnin, 4 Januari 2010

[ 23 ] Meneruskan Tahun Satu Di SRI Ittihadiah, Ketereh

"Turun abe Tah, baca BismilLah...." ...untuk ke sekolah pada hari pertama.


Anak sulung, Ahmad Fathi Rabbani meneruskan tahun satu di Sekolah Rendah Islam Ittihadiah, Tanjung Pagar, Ketereh. Tahun lalu beliau di kelas 'Pra' disini.

Suatu keputusan yang berunsurkan perubahan dan perjuangan. Saya mengatakan demikian kerana di depan mata pun ada Sekolah Kebangsaan Kolam. Sepatutnya, untuk mudahkan urusan kena belajar disinilah.

Saya tidak merendahkan Sekolah Kebangsaan Kolam yang mendidik dan membesarkan saya dari 1969 hingga 1974. Ia amat berjasa kepada saya dan kepada orang lain juga. Tak kira yang berjaya atau tidak. Bagi saya, asalkan seseorang itu tidak bergelumbang dengan dosa, jahiliah dan maksiat berjaya lah orang itu 'walaupun kais pagi makan pagi'.

Adapun saya membuat keputusan menghantar anak ke Sekolah Rendah Islam [ SRI ] Ittihadiah, Tanjung Pagar, 3 kilometer dari Pekan Ketereh itu adalah kerana ada perkataan "Islam" di SRI itu. Bermatlamatkan Islam maka SRI itu yang menjadi pilihan utama.

Di sekolah kebangsaan pun ada kebaikan juga dan telah melahirkan mereka yang kini ditampuk kejayaan tapi saya kira dengan adanya " I " itulah satu kemuncak kejayaan.

Seperi kata Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, lebih kurang, kerana terangat ingin kepada Islam maka dicetuskan "Kota Bharu Bandaraya Islam".

Walaupun serba kelemahan dan kekurangan, dengan memasukkan "Islam" pada bandar Kota Bharu itu satu kejayaan ditengah-tengah dunia yang rosak dengan jahiliah moden hari ini.

Kelemahan sama kita baiki. Harapan kepada Allah jangan di kurangi. Usaha dan kerja kearah kebaikan mesti dilaksanakan sebaik mungkin.

Allah tolong orang yanag tolong agamanya.

Jumaat, 1 Januari 2010

[ 22 ] Dengan Nama Allah...."SIJIL AKUAN" Beli - Wakaf: Masjid Uthmani

Saya namakan "SIJIL AKUAN" untuk diberi kepada penderma untuk pembinaan Masjid Uthmani. Semalam siap dicetak oleh seorang sahabat 80 an yang punya syarikat percetakan, mencetaknya secara percuma. Katanya, "nak buat masjid sama".

Kepada sahabat saya itu, tiada perkataan yang terbaik untuk diucapkan selain dari apa yang di ajar oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, "Semuga Allah membalas dengan sebaik-baik pembalasan". Harapan, moga-moga usahanya diberkati Allah. Amin

Setelah siap, kebetulan ibunda dan ayahanda mertua dari KT datang bersama adik-adik untuk menziarahi keluarga saya di Kampung Kolam ini. Saya mengamanah dan mewakilkan kepadanya untuk ikhtiar mencari dana melalui pendekatan JUALAN LOT. Mereka nampaknya sepenuh hati gembira untuk bekerja. Syukur....

Juga malam tadi saya menyerahkan kepada seorang sahabat saya yang tinggal di Kok Lanas yang juga tinggal "sebukit" di Mekah [ 1996 - 2000 ] masa belajar dulu. Sebukit tu ialah di Bukit Ajyad, berhampiran Masjid Haram. Atas "asas kepercayaan" saya menyerahkan buku "SIJIL AKUAN" pembelian dan wakaf yang bernilai RM 50 dan RM 100.

Dengan cara ini, saya berikhtiar atas "asas kepercayaan". Sahabat-sahabat kepada sahabat saya di Kok Lanas itu tentu percayakannya dan diatas "asas kepercayaan" itu diharap Allah membukakan hati hambaNya. Amin.