Selasa, 10 November 2009

[2] -Ingatkan Allah...Cari Rahmat

23 Zulkaedah 1430 / 11 November 2009 - Rabu.
Hari ini, bersama Ahmad Fathi Rabbani, makan pagi di Kedai Makan Abang Haji Soh Merbau Condong, dekat Kem Desa Pahlawan Kok Lanas. Kelas pengajian Pra, Sekolah Rendah Islam Ittihadiah Tanjung Pagar, Ketereh, sekolah AFR cuti hari ini kerana pihak sekolah mahu membersihkan kesan kekotoran dimasuki air hujan lebat beberapa hari lalu. Saya selalu bawa anak saya bersama. Pagi ini juga, makan bersama seorang sahabat baik saudara Mohd. Lotfi Batu Tinggi yang akan meninggalkan tanah air untuk menunaikan haji. Akan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail jam 5 petang ini. Memulakan persahabatan dengannya sejak 1996, semasa beliau 'berumrah' ketanah suci dan saya baru belajar di Mekah tahun itu.
Semalam, bersama isteri dan anak AFR solat zohor di Masjid Telipot, Jalan Telipot di pinggir bandar Kota Bharu. Terasa sebak hati, kedengaran mendayu-dayu suara Sheikh Suraim membaca surah Yasin sebelum azan zohor. Sheikh Suraim, peminat saya, salah seorang imam Masjid Haram. Biasalah bersembang dengan sahabat-sahabat masa belajar di Mekah dulu, "Sedap sungguh suara Sheikh Suraim...terasa nak telan...sedapnya". Ada sahabat minat Sheikh Abdul Rahman Sudais. Masing-masing selera, hati tak sama, mereka ada kelebihan masing-masing.
Masjid Telipot, salah satu masjid di pinggir bandar Kota Bharu bersama Masjid Kampung Sireh [berhampiran JKR 10-rumah kediaman resmi MB - tapi MB, TGDNA tidak tinggal disini] dan Masjid Langgar [bersebelahan Maqam Di Raja Kelantan]. Masjid Muhammadi terletak di tepi Sungai Kelantan, tepi bandar Kota Bharu. Masjid Baraah terletak di tengah-tengah bandar, bersebelahan Pasar Siti Khatijah. Masjid Telipot dikira maju jugalah, ada lima saf ketika solat jamaah Zohor walaupun orang tempatan nampak sikit saja. Yang lain tentu orang luar Telipot bila tengok gaya mereka berseluar ketika solat. Kalau orang tempatan berdekatan masjid mereka berkain pelikat berbaju Melayu atau berjubah.
Sejarah Masjid Telipot, paling ramai kehadirannya semasa tahun 80 an dulu. Kuliah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Mustafa [sekarang YB. ADUN Demit] ketika itu "top" sehingga disiarkan secara langsung oleh Radio Malaysia Kelantan. Masa itu Ustaz Muhammad Mustafa aktif dalam ABIM Kelantan. Kalau tidak silap beliau mengajar kitab 'Bimbingan Mukmin karangan Imam Ghazali' . Sejarah dulu adalah suasana dulu.
Malam tadi, kuliah maghrib saya di Masjid Ittihad-ul-Ummah, di kampung saya, Kampung Kolam. Di masjid ini saya baru "buka" buku Tafsir Surah Yasin yang dikarang oleh sahabat sebilik semasa belajar di Pakistan dulu, Al-Fadhil Ustaz Shahril Azman al-Hafiz [sekarang beliau bertugas sebagai Pengetua Tahfiz Al-Rahimiah, Bandar Pusat Jengka, Pahang].
Di muka surat 17 ada sebuah hadith yang dikemukakan yang bermaksud, "Tidak duduk satu kaum yang memperingati kebesaran Allah melainkan para malaikat mengelilingi mereka, dan rahmat menyelubungi mereka dan turunnya ketenangan ke atas mereka dan Allah menyebut tentang mereka pada malaikat yang berada disisiNya" Riwayat Muslim.
Jelas dan mudah difahami apa yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith tersebut "malaikat mengelilingi mereka" tapi apa yang berlaku, saya mengemukakan pandangan dalam kuliah tersebut bahawa "orang sekarang tak nampak minat sangat bersama malaikat, tak minat nak kejar rahmat" "...di majlis ilmu..." buktinya, tak ramai yang mengikuti kuliah di masjid, surau atau madrasah dimana-mana pun, tetapi orang minat bersama orang kaya, bergaul dengan orang berpangkat besar dan berpengaruh, hartawan dan jutawan..." kerana jika bersama dan bergaul dengan orang yang semacam, itu ada harapan dapat segera apa yang diingini...ini pengaruh kebendaan, dapat benda segera yang diingini,...hasil dari 'ghazwatul fikri' [serangan pemikiran] yang dilancar oleh musuh Islam.
"Bersatu Berusaha Berilmu"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan